Like Blog Ini...

Thursday, April 16, 2009

Siswa jangan abai hal kemasyarakatan

Oleh IZZAT AMIN MOHD. NASIR

MAHASISWA pada masa kini tidak banyak yang melibatkan diri dalam program-program kemasyarakatan sewaktu berada di menara gading.

Bukan itu sahaja, mahasiswa seakan buta mata dan buta hati untuk bersama dengan komuniti masyarakat hatta di kampung halaman mereka sendiri seperti melibatkan diri dalam aktiviti kariah dan aktiviti masjid atau surau.

Pihak institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS) tidak mewajibkan mahasiswa untuk mengikuti program-program kemasyarakatan seperti Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM), Bakti Siswa, Program Anak Angkat dan sebagainya yang membawa definisi yang sama iaitu 'Mahasiswa bersama masyarakat'. Ini kerana program-program sebegini adalah inisiatif siswa siswi tersebut.

Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM) dengan kesedaran segelintir mahasiswa yang mempunyai pemikiran yang kritikal dalam isu kemasyarakatan mengadakan OPKIM atau program anak angkat di Kampung Padang Kemunting Masjid Tanah, Melaka.

Program empat hari bermula 5 Mac lalu itu berorientasikan kebajikan. Ia juga melambangkan bahawa mahasiswa perlu lebih perlu lebih responsif dalam isu masyarakat.

PMAPIUM melihat program OPKIM sebagai satu wadah mahasiswa untuk berada di medan masyarakat. Secara tidak langsung menjadikan mahasiswa lebih berkeyakinan untuk bersama masyarakat terutamanya di kampung halaman masing-masing.

Beberapa program yang dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya menunjukkan bahawa mahasiswa dan masyarakat sememangnya perlu bersatu padu untuk membangkitkan kegemilangan komuniti rakyat Malaysia.

Di peringkat mahasiswa hanya beberapa perkara yang dapat dilakukan sepanjang program seperti Community Mapping, motivasi pelajar, smart solat, ceramah fiqh wanita, sukaneka dan sukan rakyat, pemeriksaan dan pameran kesihatan, ceramah menghindari najis dadah serta Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk 'Kampungku Syurgaku'.

Bermula dengan ramah mesra bersama penduduk kampung mengeratkan lagi silaturrahim antara mahasiswa dan orang kampung di samping mengenali adat budaya masyarakat setempat. Ramah mesra ini dinamakan Community Mapping kerana mahasiswa PMAPIUM membuat lakaran peta kampung yang menjadi panduan bagi mengenalpasti masalah-masalah yang melanda kanak-kanak, ibu tunggal, belia, warga tua dan alam sekitar.

Masalah-masalah ini akan dipanjangkan kepada pihak yang bertanggungjawab seperti ketua kampung, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Anggota Parlimen untuk tindakan selanjutnya.

Slot smart solat yang dibuat selepas solat Isyak di Surau Al-Falah dihadiri penduduk kampung terutamanya kanak-kanak membuatkan program lebih bersifat Islamik. Penduduk kampung memberi respons yang menggalakkan. Sebabnya ibu bapa menyatakan anak-anak mereka sukar untuk menunaikan solat terutamanya solat subuh, asar serta maghrib dan perlakuan solat tidak dititik beratkan bermula daripada mengambil wuduk.

Exco Akademi dan Intelektual, Zulzaidi Mahmod yang memberi ceramah kepada kanak-kanak pada malam itu telah merungkai perkara penting seperti kepentingan mengambil wuduk dan solat dengan betul.

Teori dan praktikal yang diajar memudahkan kanak-kanak dan orang kampung mengingati perbuatan-perbuatan wuduk dan pelaksanaan solat secara mudah dan jelas. Rata-rata kanak-kanak yang melibatkan diri dalam program smart solat ini memberi pandangan positif agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

Forum Perdana Ehwal Islam yang julung-julung kali dilakukan mendapat sambutan daripada komuniti kampung. Sebabnya, forum-forum yang bersifat kerohanian tidak banyak dilakukan dalam program kemasyarakatan sebelum ini. Ini juga merupakan satu platform baru dalam program khidmat masyarakat kerana komuniti masyarakat amat dahagakan nilai-nilai keilmuan dan kerohanian yang mampu diterapkan dalam diri masyarakat.

Setelah melihat mahasiswa yang lesu dengan isu-isu kemasyarakatan ini, PMAPIUM mencadangkan IPTA dan IPTS mewajibkan semua mahasiswa bermula daripada Ijazah Sarjana Muda untuk mengikuti program-program kemasyarakatan.

Ini mungkin boleh dilakukan apabila ada subjek yang berorientasikan kemasyarakatan menjadi teras dalam universiti yang seumpama dengan Hubungan Etnik atau keusahawanan. Subjek-subjek ini perlulah dikaitkan dengan universiti, mahasiswa serta masyarakat untuk menyedarkan betapa pentingnya nilai-nilai, isu-isu, budaya, adat dan sebagainya dalam kemasyarakatan.

Jalinan antara mahasiswa dan masyarakat dilihat mampu mengubah pola pemikiran kehidupan sesebuah masyarakat. Seterusnya mewujudkan masyarakat yang berfikiran terbuka, intelek dan responsif, secara tidak langsung membangunkan nilai-nilai ketamadunan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Kitab Injil bawa Khadijah kepada Islam

Susunan ZUARIDA MOHYIN

KHADIJAH Emile, wanita warga Jordan yang berasal dari Palestin ini dilahirkan kira-kira 48 tahun lalu. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga Kristian dan pernah bekerja sebagai pengurus pejabat.

Menurut wanita ini kepada laman web IslamOnline.net, pegangan agama Kristiannya bertahan sehingga 15 Januari 2006 apabila, dia memeluk agama Islam, tiga tahun lalu.

Akui Khadijah lagi, dia membesar dalam sebuah keluarga yang tidak begitu komited dengan agama Kristian yang diwarisi turun temurun daripada nenek moyang mereka. Apatah lagi, bapanya berfahaman ateis. Malah bapanya juga tidak pernah mempengaruhi ahli keluarga yang lain untuk mengikutnya atau masuk campur dalam pilihan mereka.

Ibunya memang dilahirkan Kristian dan mewarisinya dari nenek moyang. Sekali gus ibu bertanggungjawab membesarkan dia adik-beradik dengan cara hidup Kristian.

Khadijah menerima pendidikan di sekolah yang dikendalikan oleh para biarawati. Oleh sebab itulah, mempelajari Kristian adalah wajib dan mereka terpaksa menghadiri perjumpaan pada setiap Ahad dengan dihadiri paderi serta perjumpaan khas pada Rabu untuk setiap pelajarnya.

Keluh Khadijah, dia tidak menyukai ritual dalam setiap perjumpaan kerana beranggapan tidak wujud perasaan yang menghubungkan dirinya dengan tuhan menerusi ritual-ritual tersebut. Namun dia berpura-pura menyukainya dengan keyakinan bahawa itulah satu-satunya cara atau peluang untuk merasai dekat dengan tuhan, satu cara untuk meluahkan rasa terima kasih dan merayu kepada-Nya.

Lantaran itu, jauh di sudut hatinya, Khadijah tidak berapa selesa dengan segala proses itu. Berkemungkinan kerana suasana dan kaedah ia dikendalikan di mana berlaku percampuran di antara lelaki dan perempuan malah perlu kepada orang tengah iaitu paderi yang khusus berkuasa untuk mengampunkan dosa.

Mengapa tidak boleh secara terus?, Kenapa perlu ada pihak ketiga? Apatah lagi orang ketiga itu juga adalah manusia sepertinya.

Menurut Khadijah, sejak kecil lagi mereka sekeluarga mempunyai seorang pembantu (amah) yang datang ke rumah membantu ibu membersih dan mengemas.

Dia seorang Muslim. Saya cukup tertarik apabila melihatnya bersembahyang. Saya dapat lihat keikhlasan dan kekhusyukan si amah, meskipun dia bersembahyang sendirian dan tidak di rumah ibadat.

"Saya pernah bertanyakan kepada amah itu, adakah dia rasa Allah dekat dengannya semasa bersembahyang? Jawabnya, "Ya, bila kita sembahyang, kita akan rasa kehadiran-Nya".

Jawapannya itu menyentuh jauh di sudut hati saya. Sejak itu, setiap kali berkumandang laungan azan, saya iri hati kepada orang Islam. Ini kerana memikirkan saat ini mereka sedang mendirikan sembahyang dan hampir dengan tuhan mereka.

"Pun begitu saya masih dengan agama Kristian sehinggalah pada usia awal 30-an, apabila saya mula menyertai parti komunis dan pada masa sama cuba meminggirkan agama. Ia secara tidak langsung, menjadikan saya berfahaman ateis. Namun saya tidak menolak kewujudan tuhan. Walau bagaimanapun, ia cukup jelas bahawa hubungan saya dengan tuhan sudah terputus dan hanya berlaku pada sambutan Hari Natal, Easter dan semasa menyertai majlis-majlis sosial," katanya.

Lama kelamaan, Khadijah bosan dengan hubungan yang sentiasa terputus-putus itu. Jadi dia membuat kesimpulan bahawa satu cara sahaja untuk mengatasinya iaitu ialah dengan membina semula hubungan dengan agama. Dia yakin dengan kaedah sebegini, akan menguatkan pertalian dengan tuhan.

"Peliknya, semakin saya mendekatkan diri dengan agama dan pengajarannya, saya dihantui dengan soalan-soalan seperti; Siapa itu Tuhan? Adakah dia Ayah, Anak atau Roh Kudus? Sedangkan Tuhan itu Satu. Bagaimana Tuhan itu ada anak dan anak itu pula adalah Dia dan mengapa pula tuhan perlukan anak untuk membuktikan dia tuhan?

"Mengapa sebagai seorang Kristian, saya perlukan Nabi Isa untuk berhubung dengan Allah? Jika Nabi Isa itu nabi dan dia juga manusia seperti saya, sungguhpun dia memiliki tahap kerohanian yang jauh lebih tinggi.

"Tetapi saya tidak perlukan Nabi Isa untuk menghubungkan saya dengan tuhan. Lagipun, Nabi Isa hanyalah pesuruh-Nya. Jadi kalau dia juga tuhan, bermakna saya kena menyembah dua orang tuhan? Ia sesuatu yang tidak masuk akal," akui Khadijah.

Sejak itu, Khadijah mula banyak membaca, lebih-lebih lagi dalam situasi tertekannya itu. Dia berusaha mendekati tuhan menerusi Kristian, agama yang diwarisi sejak dilahirkan.

Sayangnya, hatinya semakin bimbang dan fikirannya semakin berserabut, apa lagi apabila menyentuh aspek amalan dan ajarannya. Khadijah semakin sedar bahawa apa yang ada di dalam kitab Injil itu bukan daripada Allah.

Malah di dalam kitab itu juga banyak ditemui petunjuk bahawa Nabi Isa itu cuma seorang nabi yang diutus oleh Allah untuk menyempurnakan agama yang dibawa oleh nabi sebelumnya.

Contohnya dalam Matthew 18:11, John 12:49, Matthew 5:17, Mark 10:18, Mark 9:37, John 17:3 dan banyak lagi contoh di mana Nabi Isa tidak pernah mengakui bahawa dirinya itu Tuhan.

Jadi, dari mana datangnya idea tentang konsep Triniti, soal Khadijah. Semua persoalan ini membingungkan fikirannya bertahun-tahun lamanya. Sungguhpun pelbagai jawapan yang diberikan oleh paderi bertauliah, seperti ia adalah satu mukjizat, namun semuanya masih boleh disangkal dan dipersoalkan.

Dengan demikian, Khadijah mula membuat penyelidikan sehinggalah beliau mengetahui tentang debat yang bertajuk, Is the Bible the Word of God? oleh Ahmad Deedat, seorang penceramah dari Amerika Syarikat.

Banyak bukti yang diperjelaskan oleh penceramah itu menyedarkan Khadijah akan penyelewengan yang telah dilakukan ke atas kitab Injil. Maka sejak itu, hijrah akidah Khadijah pun bermula.

Serangan menjadi-jadi ke atas Islam merebak di arena antarabangsa, ia telah membantu Khadijah untuk lebih mendalami agama Islam. Umat Islam hanya mengakui bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah malah segala sesuatu itu hanyalah datang dari-Nya dan tiada suatu di dunia ini berkuasa menandingi kekuasaan Allah. Rukun ini menjadikan Islam itu agama yang realistik bagi Khadijah.

Menurut Khadijah, Islam adalah agama yang menyeru manusia menyembah Allah dan hanya kepada-Nya tempat meminta. Ini jelas membuktikan tiada perlu ada perantara di antara hamba dan Pencipta iaitu Allah SWT.

Akhirnya, naluri Khadijah merasai dirinya serasi dengan Islam tanpa sebarang penolakan malah minda dan hatinya tenang dengan Islam, seolah-olah dirinya dilahirkan sebagai Muslim.

Tanggungjawab melaksanakan solat itu perlu demi mendekatkan diri dengan Allah, malah dia melaksanakan puasa pada bulan Ramadan dan membaca keseluruhan al-Quran.

"Saya dapati diri ini benar-benar menerima Islam secara lahiriah dan batiniah. Akhirnya saya temui ketenangan dalaman. Saya mengucap dua kalimah syahadah pada sambutan Aidiladha iaitu pada 15 Januari 2006 dengan disaksikan dua teman baik Muslim.

"Sukar untuk digambarkan perasaan gembira ketika itu. Syukurlah saya telah diselamatkan di dunia dan di akhirat oleh Allah di mana telah memilih saya menjadi hamba-Nya," kata Khadijah yang mendirikan solat sunat kesyukuran sebaik bergelar Muslim.

Asiah menyelamatkan Nabi Musa

ASIAH binti Mazahim merupakan seorang wanita Mesir yang baik budi pekertinya dan bijaksana dalam pemikirannya. Oleh kerana dia memiliki kecantikan yang tiada tolok bandingan, dia dipaksa berkahwin dengan Firaun, raja Mesir yang berkuasa pada ketika itu.

Pada suatu hari ketika Asiah sedang duduk bersantai bersama dayang-dayang istana, dia terlihat sebuah kotak kayu terapung-apung di tepian sungai yang mengalir merentasi istana Firaun.

"Ambil kotak itu dan bawa kepada beta," arah Asiah kepada salah seorang dayang yang berdiri di tepinya.

Dayang itu berlari pantas ke arah kotak yang sedang terapung-apung di tepian sungai. Dia mengangkat kotak kayu itu dari permukaan sungai lalu dibawakan kepada Asiah. Dia berdebar-debar untuk mengetahui isi kandungan kotak kayu itu.

"Comelnya bayi lelaki dalam kotak kayu ini!," jerit hati Asiah apabila penutup kotak kayu itu terbuka.

Pada ketika itu, Firaun memerintahkan masyarakatnya membunuh semua bayi lelaki Bani Israel kerana dia bermimpi bayi tersebut akan menghancurkan dan membinasakan kerajaan pemerintahan Firaun.

Apabila berita penemuan bayi lelaki itu sampai ke telinga Firaun, maka dia bergegas ke tempat Asiah dan bayi lelaki itu.

"Pengawal! Bunuh bayi ini sekarang..." Perintah Firaun kepada pengawal yang mengiringinya ke kamar Asiah.

"Bukankah kita tidak mempunyai anak lelaki. Anak lelaki ini dapat kita jadikan anak angkat. Saya merayu supaya bayi ini tidak dibunuh kerana saya sudah sayang kepadanya.

' Dia akan memberikan manfaat kepada kita berdua apabila dewasa nanti," Asiah menghalang niat jahat Firaun dengan kata-kata bijaksananya.

"Baiklah. Saya tidak akan bunuh bayi ini kerana perasaan cinta saya pada kamu," Firaun akur dengan permintaan isterinya, lalu keluar dari kamar itu.

Asiah memberi nama Musa kepada bayi tersebut dan memeliharanya sehingga dewasa di istana Firaun.

Apabila nabi Musa mula berdakwah menyebarkan ajaran Allah, maka Asiah terus menjadi salah seorang pengikutnya tanpa pengetahuan Firaun dan orang sekelilingnya.

Pada suatu hari, Asiah duduk menyisir rambut anak perempuannya di kamar tidur. Tiba-tiba sikat yang digunakan Asiah bagi menyisir rambut anaknya jatuh dengan kehendak Allah.

Asiah yang terkejut dengan kejadian itu terus berkata, "Binasalah Firaun yang dilaknat Allah dengan izinnya."

"Dengan nama Allah," ucap Asiah tanpa menyedari anaknya memerhatikan perbuatannya dengan perasaan hairan.

"Ibu, adakah tuhan lain selain ayah? Adakah ibu sudah menganut agama yang dibawa oleh Musa? Mengapa ibu sanggup mengikut agama Musa? Bukankah ibu menyelamatkan Musa sewaktu kecil apabila dia akan dibunuh oleh ayah," anaknya bertanya pelbagai soalan kepada Asiah dan menanti jawapannya.

Manusia biasa

"Firaun, ayah kamu adalah manusia biasa seperti kita semua dan bukan tuhan. Tuhan sebenar adalah Allah, tuhan semesta alam!" jawab Asiah tanpa perasaan takut dan gentar.

"Biar saya adukan perkara ini kepada ayah!," balas anaknya, lalu dia lari keluar dari bilik itu dan pergi mengadu kepada Firaun.

Firaun yang mendengar aduan anaknya berasa sangat marah dengan Asiah. Dia tidak menyangka Asiah sudah mengikut ajaran Allah walaupun dia melarang sesiapa sahaja di Negara Mesir mengikuti ajaran Allah.

Orang yang mengingkari larangan itu akan dijatuhkan hukuman berat jika diketahui oleh Firaun. Kini isterinya sudah mengikut ajaran Allah, maka dia harus berbuat sesuatu supaya isterinya keluar dari agama Allah.

"Dengarlah nasihat saya, wahai Asiah yang amat saya cintai dan sayangi.

"Keluarlah dari agama yang dibawa oleh Musa. Saya akan berikan segala harta dan istana di Mesir sebagai hadiah," Firaun cuba berlembut dan memujuk Asiah dengan kata-kata manisnya.

"Saya tidak akan sekali-kali keluar dari agama ajaran Musa yang benar dan suci. Nanti saya akan dimurkai oleh Allah, tuhan yang mencipta saya.

"Jika saya tetap dalam agama ini, saya percaya Allah akan memberikan syurga yang lebih baik dari harta dan istana kamu," tegas Asiah yang tenang dan berani bertentang mata dengan Firaun yang menyala dengan api kemarahan.

Usaha Firaun memujuk isterinya menemui jalan buntu. Dia tidak mahu menghukum Asiah kerana perasaan kasih sayang dan cinta yang mendalam terhadap isterinya. Dia cuba memikirkan cara lain bagi melembutkan hati Asiah supaya dia tidak beriman dengan ajaran nabi Musa.

Namun, semua ikhtiarnya gagal dan tidak menemui jalan penyelesaian. Firaun termenung. Wajahnya terbayang seribu kekecewaan kerana gagal memujuk Asiah. Akhirnya, dia mengambil keputusan menggunakan kekerasan kepada Asiah supaya dia berpaling dari agama Musa.

"Pengawal, tangkap Asiah dan bawa dia berjumpa beta sekarang!," perintah Firaun dengan nada keras.

"Oleh kerana kamu masih berdegil mahu mengikuti ajaran agama Musa, beta jatuhkan hukuman berat ke atas kamu," kata Firaun lagi.

"Pengawal, bawa perempuan ini ke tanah tinggi dan ikatkan pada empat batang kayu. Pakukan empat kayu itu ke bumi dengan menelentangkan badan perempuan ini menghadap langit.

"Biarkan bahang matahari yang panas, dan sejuk malam menyeksanya," Firaun meminta para pengawalnya menjalankan hukuman ke atas Asiah dengan segera.

"Allah! Allah! Allah!," mulut Asiah tidak henti-henti menyebut kalimat Allah sepanjang hukuman itu dijalankan.

"Ya Allah! Saya mohon supaya dilindungi dari bencana Firaun dan dianugerahkan sebuah rumah di syurga," doa Asiah yang terseksa dengan pancaran matahari yang sangat panas dan terik.

Akhirnya Asiah dapat melihat rumahnya di syurga dengan kehendak Allah yang membuka hijabnya. Hatinya sangat gembira sehingga lupa pada penderitaan dan kesakitan yang sedang diharunginya.

Selepas beberapa lama tempoh penyeksaan itu berlalu, Asiah akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan kalimat Allah di mulutnya.

Begitulah kisah wanita yang berhati waja. Dia tetap dalam keimanannya kepada Allah walaupun diseksa sehingga mati tanpa belas kasihan.

Doa Nabi Nuh mohon ampun

Firman Allah yang maksud-Nya: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku dan memberi rahmat kepadaku, nescaya jadilah aku daripada orang-orang yang rugi. (Hud: 47)

Keterangan ayat

Setelah mendapati anaknya bertegas untuk mencari tempat perlindungan daripada banjir besar itu, maka Nabi Nuh memohon belas kasihan Allah agar merahmati anaknya.

Baginda mengatakan dalam ayat sebelumnya iaitu ayat 45 yang bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya anakku itu daripada keluargaku.

Menurut Abu Sheikh, Allah SWT menafikannya dan menolak doa Nabi Nuh. Allah mengatakan dia termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang rugi kerana tidak menuruti Nabi Nuh dalam dakwahnya.

Nabi Nuh memohon keselamatannya selepas banjir reda kerana adatnya mungkin ada yang selamat dalam banjir dengan rahmat Allah.

Terdapat setengah riwayat menunjukkan bahawa anak Nabi Nuh itu sebenarnya adalah seorang munafik iaitu berpura-pura Islam di hadapan bapanya.

Lantaran itu, Nabi Nuh memohon keselamatannya sehingga Allah SWT mewahyukan tentang hakikat kekufurannya itu. (Tafsir Ruhil Ma’ani, tafsir ayat 47 surah Hud).

Menurut Fudhail Iyadh, Nabi Nuh menangisi kesilapannya yang memohon perkara yang tidak diketahui rahsia ketetapan Allah di sebaliknya itu selama 40 tahun.

Al-Imam Ahmad pula menyatakan, baginda menangis selama 300 tahun sehingga menjadi kesan laluan air mata di mukanya seperti laluan anak air. (Tafsir Ruhil Ma’ani, tafsir ayat 47 surah Hud).

Khasiat dan kaifiat beramal

Marilah kita jadikan pengajaran daripada kisah ini untuk meminta keampunan Allah atas permintaan kita kepada-Nya dalam banyak perkara yang kita tidak mengetahui rahsia di sebaliknya.

Jadikanlah doa ini amalan harian sebagai satu usaha bertaubat kepada Allah SWT.

-Petikan daripada buku 101 Doa Para Nabi & Rasul dalam Al-Quran Khasiat & Kaifiat Beramal terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

Sunday, April 5, 2009

Contohi Luqman didik anak

Oleh HASHIM AHMAD

SEORANG Muslim sewajarnya menjadikan kampung akhirat sebagai matlamat utama. Jangan kita hanya meletakkan dunia dan gemerlapannya di lubuk hati.

Dunia hanya sebagai batu loncatan untuk mencapai nikmat syurga yang abadi. Justeru, janganlah kita hanya duduk bersantai menanti waktu berlalu apalagi ditipu ilusi dunia.

Firman Allah yang bermaksud: Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan keampunan dari Allah serta keredaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. (al-Hadid: 20)

Ibnu Kathir berkata, Allah membuat misalan di dunia sebagai keindahan yang fana dan nikmat yang akan sirna, iaitu seperti tanaman yang disiram hujan selepas kemarau panjang sehingga tumbuhlah tanaman yang menakjubkan petani, seperti takjubnya orang kafir terhadap dunia. Namun tidak lama kemudian tanaman-tanaman tersebut menguning dan akhirnya kering dan hancur.

Perbandingan ini mengisyaratkan bahawa dunia akan hancur dan digantikan oleh akhirat. Lalu Allah mengingatkan tentangnya dan menganjurkan kita berbuat baik.

Sesungguhnya pendidikan anak-anak termasuk salah satu daripada unsur keluarga. Pendidikan dapat menyelamatkan diri kita di dunia dan akhirat. Anak-anak bagi ibu bapa adalah penyeri rumah tangga yang amat menyenangkan.

Selain itu, anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa. Sebab itu, mereka tidak boleh disia-siakan. Anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Wajib bagi orang tua menentukan supaya mereka tidak menyimpang daripada jalan lurus di dalam Islam. Selain itu, anak yang soleh menjadi pelaburan kepada para ibu bapa.

Tuntutan ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Hai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah dari manusia dan batu...(at-Tahrim: 6)

Oleh yang demikian, hendaknya para ibu bapa jangan mensia-siakan umur muda anak-anak mereka. Sebaliknya, berusaha ke arah menjadikan mereka hamba Allah yang taat. Bak kata pepatah, 'melentur buluh biar dari rebungnya'.

Pengawasan

Jangan biarkan anak-anak tanpa pengawasan terhadap bacaan yang mereka gemar, apa saya yang suka mereka saksikan dan aktiviti yang mereka sertai. Kelalaian dalam hal ini bererti mensia-siakan amanah Allah.

Ingatlah akibat yang akan menimpa kita dan keluarga jika mensia-siakan agama. Nerakalah balasan bagi orang yang lalai menunaikan kewajipan kepada Yang Maha Esa. Ini mungkin menimpa anak kita yang malang.

Balasan seksa neraka Allah dinyatakan menerusi firman-Nya yang bermaksud: Setiap kali kulit mereka hangus, kami ganti kulit mereka dengan yang lain supaya mereka merasakan azabnya. (an-Nisa': 56)

Azab neraka yang paling ringan pun amat menyakitkan. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Penduduk negara yang paling azabnya ialah Abu Talib. Dia memakai dua terompah dari api neraka (yang akibatnya) otak mendidih kerananya. (riwayat muttafaqun alaih)

Menyedari hakikat ini, berikanlah perhatian terhadap tarbiyatul aulad iaitu proses pendidikan anak kita. Al-Quran telah mengulas hal ini menerusi kisah Luqman yang menasihati anaknya. Ia boleh kita teliti dalam ayat 12 hingga 19 surah Luqman.

Dalam surah tersebut, Luqman mula mengajar anaknya dengan menanam kalimat tauhid yang hakikatnya memurnikan ibadat hanya untuk Allah SWT sahaja. Ini dilanjutkan dengan kewajipan berbakti dan taat kepada ibu bapa selama mana ia tidak menyalahi syariat. 

Wasiat berikutnya adalah berkaitan penyemaian keyakinan tentang hari pembalasan, kewajipan menegakkan solat. Seterusnya, amar makruf nahi munkar yang berperanan sebagai faktor penting untuk memperbaiki umat.

Luqman juga menyentuh tentang sikap sabar dalam pelaksanannya dan mengalih perhatian kepada adab-adab seharian yang tinggi. Antaranya, larangan memalingkan muka ketika berkomunikasi dengan orang lain kerana ia mencerminkan sikap takbur.

Beliau turut melarang anaknya berjalan dengan bongkak dan sewenang-wenangnya di muka bumi. Sebabnya, Allah tidak menyukai orang yang sombong. 

Sebaliknya, anaknya diajar berjalan dengan sedang- tidak terlalu lambat atau terlalu cepat. Nasihat Luqman yang terakhir pula berkait erat dengan perintah merendahkan suara dan tidak berlebih-lebihan dalam berbicara.

Kisah di atas dapat dijadikan tauladan kepada semua pemimpin keluarga. Sesungguhnya keperluan seorang anak terdapat ilmu dan pengetahuan adalah lebih mustahak berbanding yang lain.

Jangan pula ibu bapa hanya sekadar mencurahkan kemewahan fizikal semata-mata tanpa diseimbangkan dengan keperluan ukhrawi. Ini bagi menentukan anak-anak menjadi orang yang berguna dan berjaya di dunia dan akhirat.

Kepentingan makanan halal

WAHAI orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya. (al-Baqarah: 172)


Huraian

Islam menggesa umatnya supaya menjaga pemakanan dengan memakan makanan yang bersih dan halal sahaja. Mereka dilarang memakan makanan yang kotor dan haram kerana boleh menjejaskan kesihatan. 

Sebagai ibu dan bapa yang juga hendaklah mengambil berat terhadap pemakanan anak-anak serta ahli keluarga yang lain. Pastikan makanan yang diberi bersih dan halal daripada sumber rezeki yang halal juga. Bukan hasil daripada pekerjaan haram seperti mencuri, berjudi dan sebagainya.

Setiap orang hendaklah prihatin terhadap kesucian makanan yang dimakan kerana ia mempunyai hubung kait dengan amalan dan ibadah mereka. Apabila mereka memakan sesuatu yang haram, ia akan memberi kesan rohani kepada diri. Mereka akan berasa sukar mendidik jiwa dengan sifat-sifat mahmudah kerana pintu hati telah tertutup untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT. 

Justeru, sebagai seorang yang beriman dan bertaqwa hendaklah sentiasa berhati-hati menentukan pemakanan. Dengan mengambil berat soal kebersihan dan kesucian makanan. 

Ini kerana unsur-unsur tersebut amat besar pengaruhnya dalam pertumbuhan diri manusia sama ada dari sudut jasmani mahupun rohani.

Kesimpulan

Seorang Islam hendaklah prihatin dalam menjaga pemakanan mereka dengan memakan makanan yang bersih dan halal. Mereka dilarang memakan makanan yang diharamkan demi menjaga kesihatan fizikal dan mental. 

Sebenarnya pengharaman sesetengah jenis makanan itu ada hikmah dan rahsia di sebaliknya. Bukanlah diharamkan itu kerana suka-suka tetapi bertujuan menghindarkan diri daripada pelbagai kemudaratan seperti penyakit, keracunan, buta mata hati dan sebagainya. 

Oleh itu, makanlah makanan yang halal melalui sumber yang halal juga di samping sentiasa bersyukur kepada Allah SWT atas limpahan rezeki yang melimpah ruah itu.

Nabi kehilangan bonda

Susunan SITI AINIZA KAMSARI


APABILA membaca surah Ad-Dhuha, tentu sahaja ia tidak ada kena mengena dengan satu tempoh masa yang berlaku di pertengahan waktu pagi, iaitu semasa cahaya matahari belum panas lagi yang dikira 24 minit selepas waktu terbit matahari.

Ini kerana jika kita hayati, surah itu seolah-olah Rasulullah sedang dipujuk hatinya jika baginda berada dalam hati yang rawan akibat dilahirkan sebagai anak yatim. 

Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat) sehingga engkau redha - berpuas hati. Bukankah ia mendapati engkau yatim piatu, lalu diberikan perlindungan? (ad-Dhuha: 5-6)

Surah ini mungkin memberikan semangat yang kuat kepada baginda untuk mengharungi arus kehidupan seorang diri di dunia ini, tanpa ayah dan ibu di sisi .

Begitupun bagi membesarkan anak yatim ini, Nabi Muhammad telah Allah berikan pelbagai 'penjagaan' khas sedari baginda kecil mengenangkan anak yatim ini akan memikul satu tanggungjawab yang sangat berat, besar dan mencabar sebagai Pesuruh Allah kala dewasanya kelak!

Begitulah yang terjadi ketika baginda kembali semula ke Kampung Bani Saad selepas ibu susu baginda, Halimatus Saadiah berjaya memujuk Siti Aminah untuk beliau terus memelihara walaupun anak susuannya itu telah habis tempoh penyusuannya, iaitu dua tahun.

Dikatakan ketika baginda berusia dalam lingkungan empat atau lima tahun maka berlakulah peristiwa ajaib iaitu dada baginda dibedah oleh malaikat. 

Muslim meriwayatkan daripada Anas bahawa Rasulullah pernah didatangi malaikat Jibrail ketika baginda masih kanak-kanak dan sedang bermain dengan kanak-kanak sebaya yang lain. 

Jibrail yang lazimnya muncul dalam rupa seperti manusia telah menangkap baginda lalu tanpa membuang masa, dada Nabi Muhammad telah dibelah terutama di bahagian organ hati lalu dikeluarkan organ itu.

Sebuku darah

Daripada organ itu, Jibrail telah keluarkan sebuku darah, sesetengah riwayat mengatakan sebuku darah itu berwarna hitam lalu berkata: "Inilah bahagian syaitan yang ada padamu!"

Lalu organ hati itu dimasukkan ke dalam sebuah bikar emas lalu dibasuhkan hati itu dengan air Zamzam. 

Hati yang telah dicuci bersih itu kemudiannya dikembalikan semula ke tempat asalnya dan dada Rasulullah dicantumkan semula. 

Rasulullah SAW dikatakan terpinga-pinga dengan kejadian yang menimpa baginda itu.

Tetapi berbeza dengan mereka yang menyaksikan bagaimana Nabi Muhammad telah ditangkap dan dibedah dadanya itu. 

Belum sempat mereka menyaksikan kejadian itu sehingga habis dan Jibrail hilang dari pandangan, dalam serba ketakutan rakan-rakan Rasulullah itu kemudiannya berlari kepada ibu susu baginda, Halimah dan memberitahu bahawa Nabi Muhammad telah dibunuh oleh seorang lelaki. Mereka berkata dengan cemas: "Muhammad telah dibunuh! Muhammad telah dibunuh!" 

Lalu apabila mereka kembali semula ke tempat kejadian, didapati Nabi Muhammad berada dalam keadaan selamat tanpa sedikit pun sebarang kecederaan. 

Kejadian yang penuh makna itu, bagaimanapun telah menimbulkan kebimbangan di hati Halimah. Beliau begitu bimbangkan mengenai soal keselamatan Nabi Muhammad dan jika terjadi sebarang yang tidak diingini tentu sahaja beliau tidak dapat melindungi anak yatim itu. 

Ini menyebabkan Halimah merasakan sudah tiba masanya beliau terpaksa juga berpisah dengan Rasulullah demi kebaikan anak itu sendiri.

Walaupun perpisahan itu bakal mencalarkan kebahagiaan beliau selama ini kerana dapat membesarkan seorang anak yang sebaik Rasulullah. Namun beliau sedar anak susuannya perlu kembali ke tempat asal usulnya di mana baginda dilahirkan dahulu. 

Dalam hal ini kala dewasa, baginda masih mengenang jasa dan keikhlasan ibu-ibu susu yang pernah memberikan yang terbaik dan paling berkhasiat kepadanya.

Selain ajaran baginda dan Islam itu sendiri amat menggalakkan susuan susu badan ini, kedudukan ibu yang menyusukan anak, dipandang sangat mulia dan tinggi oleh Rasulullah. Ini sebagaimana sabda baginda, yang bermaksud; "Bahawa dia (Halimatus Saadiah) adalah ibuku setelah ibuku sendiri".

Dalam riwayat lain; "Diriwayatkan daripada Hajjaj al-Aslami bahawa dia bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah yang boleh menghilangkan ingatan hatiku daripada mengenang jasa orang yang telah menyusuiku?" Lantas Rasulullah menjawab dengan katanya: "Hendaklah kamu menghadiahkan kepadanya seorang hamba atau jariah yang masih kecil".

Lalu berpisahlah ibu susu yang namanya begitu tercatat besar dalam sirah Nabi Muhammad dengan anak susuannya itu. Berkat dan kesudian Halimah menyusukan Rasulullah ternyata melihatkan kesan yang cukup ketara apabila Nabi Muhammad tumbuh besar dengan baik, sihat dan kuat.

Meskipun hatinya amat berat sekali, namun Nabi Muhammad tetap dipulangkan semula ke ibu kandungnya, Siti Aminah.

Sebaik sahaja, anak itu diserahkan sehingga itu sahajalah catatan sejarah yang menceritakan mengenai kemuliaan Halimah. 

Namun beliau meninggalkan juga satu lagenda dan bagaimana umat kini dapat mempertahankan ibu susuan kerana tanpa bantuan dari Halimah, manakan Rasulullah tetap gagah perkasa sehingga ke akhir hayat baginda. Semua itu berkat dari susu badan wanita desa yang dipercayai sangat berhikmah, lemah lembut dan berbudi pekerti mulia, Halimatus Saadiah!

Sebagai ibu kandung, melihat anaknya membesar dengan sihat dan kuat merupakan satu kegembiraan kepada Siti Aminah selepas kehilangan suami tercinta, Abdullah. 

Namun kita akan memasuki satu lagi episod sedih apabila kegembiraan dari pertemuan semula seorang ibu dan anaknya itu ditakdirkan berlangsung tidak lama. 

Sehinggalah pada suatu hari, dikatakan hanya selepas setahun bersama ibu kandungnya itu, dalam usia enam tahun baginda telah dibawa ibunya untuk menziarahi kubur ayahanda baginda yang terletak di Yathrib (nama lama Madinah).

Itulah pertama kali baginda hendak 'didekatkan' dengan bapa kandung yang tidak sempat baginda temui di samping telah menjadi tanggungjawab kepada Siti Aminah yang setiap tahun mesti menziarahi pusara suaminya itu.

Menziarahi pusara bapa

Rombongan untuk menziarahi pusara Abdullah itu diketuai sendiri datuk baginda, Abdul Mutalib yang turut bersama dalam rombongan itu, hadina (pengasuh) Rasulullah, Ummu Ayman.

Dalam ziarah itu mereka menetap di Yathrib selama sebulan sebelum kembali semula ke Mekah. 

Dalam perjalanan pulang itu, iaitu setibanya rombongan itu di suatu tempat bernama Abwak, Siti Aminah mengadu sakit manakala sesetengah riwayat berkata Ummul Mukminin itu dikatakan jatuh demam yang menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan perjalanan ke Mekah. 

Pada hari itu juga, bonda Nabi Muhammad ini dikatakan akhirnya menghembuskan nafas terakhir ketika dalam tidurnya.

Maka, yatim piatulah Nabi Muhammad dengan kehilangan ibu tercinta di kala usia baginda enam tahun, iaitu satu usia yang sangat muda dan amat memerlukan belaian dan kasih sayang seorang ibu, lebih dari segala-galanya di dunia ini.

Namun dikatakan sebelum wafat ibu Rasulullah itu, Siti Aminah sempat menitipkan pesan kepada anak yang tercinta; "Ya Muhammad, kun rajullan, li annanni saamutu". (Wahai Muhammad, jadilah seorang lelaki sejati, kerana sesungguhnya aku akan mati).

Walaupun pesanan itu sungguh bermakna besar kepada Rasulullah tetapi bayangkan kesedihan yang ditanggung oleh si anak kecil melihatkan ibu tercinta turut menjejak langkah bapanya dengan meninggalkan beliau seorang diri di dunia ini.

Namun sebagaimana yang dipesankan oleh ibunya itu, maka jadilah baginda seorang lelaki di waktu kecil, di waktu kanak-kanak, di waktu muda, di waktu dewasa sehinggalah di waktu usia tua baginda. Iaitu baginda begitu matang berbanding usia sebenar. 

Datuk mana yang tidak belas, melihat cucunya kini benar-benar si yatim piatu walaupun luluh lagi hatinya mengenangkan anak dan menantunya lebih dahulu pergi meninggalkannya berbanding dirinya yang lebih tua.

Abdul Mutalib kini bertanggungjawab untuk mewarnai kesuraman akibat kehilangan ayah dan ibu akan cucunya itu. Namun terdayakah beliau, sedangkan dirinya sendiri juga semakin di makan usia? 

Ikuti bagaimana Nabi Muhamad menempuh kehidupan 'lelaki' dalam usia yang masih kanak-kanak!

Salam buat Perdana Menteri baru

Malaysia mendapat Perdana Menteri yang baru. Demikian para pemimpin itu silih berganti, datang dan pergi. Tiada siapa yang dapat menongkat langit kekal. Cumanya kita di Malaysia bertuah kerana dua pemimpin kita meletakkan jawatan tanpa dipaksa. Berundur apabila mereka merasa perlu. Amalan yang seperti itu tidak dilakukan oleh seorang diktator yang tenggelam dalam kuasa dan kekejaman. Semoga nilai baik yang seperti itu berterusan. 

Ya, pemimpin datang dan pergi. Demikian insan sama ada rakyat atau penguasa hidup dan mati. Namun akhlak dan budi seorang pemimpin akan disebut dari generasi ke generasi. Begitu juga sikap buruk dan rakus seorang pemimpin akan menjadi sebutan zaman ke zaman. 

Betapa ramai pemimpin yang sudah ratusan, bahkan ribuan tahun meninggalkan dunia ini; namun jasa baik mahupun sejarah buruk mereka terus dicatatkan di dada sejarah, lantas dibaca dari masa ke masa. Jika baik, mereka akan dipuji dan dicontohi. Jika buruk mereka akan dikeji dan dibenci. 

Lebih penting daripada itu, setiap pemimpin akan mengadap Tuhan Yang Maha Adil. Setiap tindakannya akan dinilai dan soal. Jika dia melakukan kebaikan dan keadilan, tempatnya adalah syurga yang dilimpahi dengan nikmat yang tidak tergambar oleh insan. 

Jika dia melakukan kezaliman, maka balasan buruk akan menantinya di sana. Kezaliman seorang pemimpin yang berkuasa mungkin tidak dapat dibantah oleh orang lain, atau mungkin boleh disembunyikan, atau dijustifikasikan oleh para pengampunya. Ketidakadilan terhadap rakyat dan penderitaan mereka mungkin tidak dapat dituntut di dunia ini, atau mungkin tiada siapa yang dapat membela, bahkan mungkin catatan sejarah juga akan terlupa. 

Namun Tuhan dengan segala kebesaran-Nya menyebut dalam kitab-Nya: (maksudnya): Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; Sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku), mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas) (Surah Ibrahim 42-43).

Pena saya sejak dahulu berbicara untuk semua pihak, tanpa berpihak melainkan cuba menghayati prinsip yang diyakini jua. Terimalah bicara ini dengan jiwa yang terbuka. Ramai orang mengucapkan tahniah apabila seseorang mendapat jawatan kepimpinan. Ya, mungkin juga boleh untuk kita berbuat demikian sebagai tanda bahawa seseorang yang dilantik itu mendapat penghormatan rakyat. 

Namun sebenarnya, amanah dan bebanan tugas sebagai pemimpin adalah lebih besar bahayanya dibandingkan bahagianya. Justeru itu Nabi SAW mengingatkan kita betapa bahaya jawatan kepimpinan jika tidak diurus dengan betul, sabdanya: Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya (Riwayat al-Bukhari). 

Bahkan baginda pernah menyebut: Allah tidak lantik seseorang hamba itu menguasai sesuatu rakyat kemudian hamba itu mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, melainkan Allah haramkan untuknya syurga (Riwayat Muslim). 

Sebab itulah, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik bertanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai. Kata anaknya: "Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila ditanya, dia berkata: Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis (lihat: Mahmud al-Baji, Muthul 'Ulya min Qada al-Islam, 144).

Ramai orang, termasuk kelompok agama yang berkepentingan akan berpusu-pusu mendampingi seseorang penguasa atau pemerintah. Mereka barangkali mempunyai banyak madah pujangga untuk bertasbih dan tahmid memuji dan memuja pemerintah agar tempiasan harta dan kuasa melimpahi mereka. Saya tidak mempunyai kepentingan untuk itu. Memang, saya mempunyai hubungan dengan ramai pemimpin dan penguasa, namun saya belum sempat menghafal madah berhias untuk dilafazkan di hadapan mereka. Jika saya suatu hari ingin melafazkannya, saya ingin melafazkannya dengan jujur, bukan dengan kemunafikan. Hari ini kita mendapat Perdana Menteri yang baru. Kita berdoa agar Allah sentiasa merahmati rakyat dengan direzekikan amanah dan keadilan sikap pemerintah yang baru. Kita doakan agar Allah memberi kekuatan kepadanya untuk menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Walaupun mungkin ramai pemimpin itu telah tahu tentang tanggungjawab, tetapi mereka perlu diingatkan. Mereka perlu sentiasa menjenguk arahan Allah: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat. (Surah al-Nisa: 58). Mereka perlu selalu kembali mendengar apa yang Abu Bakr al-Siddiq ucapkan apabila beliau dilantik. Dengar penuh keimanan Abu Bakr menyebut: Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).

Antara perkara yang perlu untuk diingatkan para pemimpin negara ini, bahawa di kalangan mereka sering dicemari oleh kroni. Maka mereka hendaklah berhati-hati dalam hal ini. Pemimpin jika gagal untuk mengawal pengikut atau keluarga, bagaimana dia hendak mengawal negaranya. Kelompok ini jika tidak soleh akan mengancam nama baik, kewibawaan dan ketelusan seseorang pemimpin. Sabda Nabi SAW: Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan dan menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan dan menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan Allah. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).

Pemerintah hendaklah dekat di hati rakyat, bukan dekat di hati kroni dan taukeh. Jadilah pemerintah itu seperti kata Muhammad bin Ka'ab al-Qurtubi apabila diminta menyifatkan keadilan pemerintah: Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar'iyyah, 1/202).

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Baru, saya dari jauh ucapkan tahniah dan takziah. Tahniah atas kepercayaan negara, takziah atas bebanan amanah. Negara dan rakyat mengharapkan keadilan dan kebijaksanaan seseorang pemerintah. Simpatilah kepada rakyat, Allah akan bersimpati kepada YAB!

Thursday, April 2, 2009

Islam Hadhari pacu kemajuan

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN

ANTARA kejayaan besar dan paling bermakna bagi umat Islam di Malaysia selepas pengenalan pendekatan Islam Hadhari adalah kejayaan menghantar angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor pada 10 Oktober 2007.

Peristiwa itu bukan sahaja mencatat sejarah baru bagi umat Islam tetapi juga meletakkan negara ke suatu tahap tinggi setanding dengan kuasa besar dunia seperti Amerika Syariat (AS) dan bekas kuasa dwipolar iaitu Rusia.

Kejayaan itu juga adalah bertepatan dengan prinsip penguasaan ilmu pengetahuan dalam pendekatan Islam Hadhari. 

Manusia berbahagia dan selamat mengikut al-Quran apabila mengambil berat tentang ilmu pengetahuan agama dan dunianya. Ini jelas dalam ayat Allah yang bermaksud: Bertanyalah kamu kepada orang yang mempunyai pengetahuan kalau kamu tidak mengetahui. (an-Nahl: 43).

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang maksudnya: Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi pengetahuan beberapa darjat ...(al-Mujadalah: 11). 

Sebenarnya, bab naik ke langit atau angkasa lepas di kalangan umat Islam sebenarnya telah bermula sejak zaman Rasulullah SAW. Nabi Muhammad SAW sendiri adalah 'angkasawan' pertama yang menerobos angkasa ketika baginda melakukan Mikraj dari 'stesen pelancarannya' di Masjid al- Aqsa Baitulmaqdis. 

Baginda telah naik ke langit dunia dengan kenderaan khas (diriwayatkan bernama 'Buraaq') hingga ke Langit Ketujuh dan seterusnya ke Sidratul Muntaha.

Seperkara yang tidak kurang pentingnya adalah kejayaan ulama dan saintis kita menghasilkan ijtihad kaedah beribadat di angkasa lepas. 

Sebenarnya panduan teratur rapi telah disusun bagi Sheikh Muszaphar dalam Seminar Islam dan Kehidupan di Angkasa anjuran Agensi Angkasa Negara dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Hasilnya, terbit buku Ibadah Di Angkasa Lepas, kali pertama yang seumpamanya dilancarkan dalam apa jua bahasa. Antara panduan yang diberi:

l Puasa ditunaikan di stesen angkasa lepas atau secara qada manakala kembali ke bumi.

l Solat ditunaikan secara jamak dan qasar dan tidak perlu diqada.

l Jika tidak berkeupayaan berdiri untuk bersolat, hendaklah secara duduk. Jika tidak berupaya baring, menelentang lakukan secara - syarat mata bagi tiap pergerakan atau dengan hati, iaitu menggambarkan diri berdiri, rukuk, sujud dan seterusnya.

l Seandainya berlaku kematian di angkasa lepas, jenazah hendaklah dibawa balik ke bumi. Atau jika ini tidak mungkin dilakukan, jenazah hendaklah "dikebumikan" di angkasa lepas selepas doa.

Apa yang jelas, panduan rapi yang disusun bagi angkasawan Malaysia. Sebabnya, negara Malaysia merancang mengirim angkasawan ke bulan menjelang tahun 2020. 

Cendekiawan

Secara istilah Islam Hadhari lahir pada tahun 2001 di meja mesyuarat bulanan cendekiawan dan ulama UMNO. Ia dikendalikan bersama oleh pejabat Penasihat Agama Perdana Menteri, Jabatan Hal Ehwal Khas (JHEK) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Pencetus gagasan Islam Hadhari ialah Yang Dipertua Yadim, Datuk Nakhaie Ahmad. 

Pada tahun 2004, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan pendekatan Islam Hadhari yang bertujuan membawa rakyat ke arah lebih terarah dan berjaya. 

Pendek kata, Islam Hadhari adalah satu pendekatan yang komprehensif bagi memacu kehidupan manusia baik dalam aspek fardu ain mahu pun fardu kifayah. Ia juga memartabatkan hubungan manusia dengan Allah, manusia sesama manusia, manusia dengan makhluk dan manusia dengan alam sekitarnya.

Hal ini penting terutama selepas tragedi serangan Pusat Dagangan Dunia di Amerika Syarikat pada 11 September 2001 yang menyaksikan umat Islam dilabel pengganas oleh Barat. 

Apabila umat Islam mencapai tahap tamadun yang tinggi maka, tingkah laku, adab sopan dan tahap keilmuan juga akan berada di kemuncak. Sebagaimana kejayaan umat Islam lampau. Bukan sedikit saintis Islam terbilang seperti Al-Razi, Ibnu Rushd, Al-Khawarizmi dan al-Kindi (sekadar menyebut beberapa nama).

Malah, bukan rahsia bahawa Baghdad di bawah kerajaan Bani Abbasiyyah pernah menjadi kota ilmu yang hebat. Kota Baghdad seperti Cordova juga memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu pengetahuan dan tamadun Islam, terutama pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid dan puteranya, al-Makmun. 

Kegemilangan zaman pemerintahan kedua-dua pemerintah berwibawa ini mendorong sejarawan menamakannya Zaman Keemasan Kerajaan Abbasiyyah. 

Sayangnya pada awal abad ke-13, kota besar itu diserang orang-orang Mongol pimpinan Hulagu Khan, cucu Jenghis Khan 'Sang Penakluk Dunia'. Kota Damai jatuh ke tangan mereka tahun 1258. Kota dihancurkan.

Kini, adalah masa yang sesuai untuk umat Islam khasnya di Malaysia, negara yang diiktiraf negara Islam maju dan sederhana pendekatannya untuk menerajui kepimpinan umat Islam sejagat. 

Sebab itu juga penekanan Islam Hadhari turut menyentuh soal keimanan dan takwa kepada Allah serta keutuhan budaya dan moral.

Kita sedar adalah mustahil bagi umat Islam kini menyaingi negara Barat dari segi kemajuan teknologi dan ketenteraan mereka. Justeru, adalah penting untuk kita melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, keimanan serta akhlak yang mulia. Ramuan dan resipi ini jika diadun dengan sempurna, insya-Allah akan melahirkan insan Muslim yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Bercakap tentang akhlak, kita mempunyai junjungan besar Nabi SAW yang diiktiraf sebagai manusia yang terbaik untuk dijadikan contoh teladan. 

Ini sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu sebagai contoh teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (al-Ahzab: 21).

Justeru, keempat-empat sifat wajib Baginda iaitu siddiq (bercakap benar), tabligh (menyampaikan), amanah dan fatanah (bijak) itu perlu dihayati oleh setiap Muslim. Seterusnya menjadikan kesemua resipi itu sebagai kaedah bermasyarakat sesama Muslim dan bukan Islam. 

Apabila umat Islam menterjemahkan keperibadian Rasulullah dalam kehidupan, insya-Allah pandangan negatif bukan Islam terhadap agama suci ini akan terhakis sedikit demi sedikit.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia... (al-Qasas: 77)

Melalui keimanan, kita akan sentiasa mematuhi perintah dan larangan Allah. Sekali gus mencegah segala perbuatan maksiat dan kemungkaran. 

Usaha memelihara iman ini perlu diperkukuhkan dari semasa ke semasa kerana iman kita sentiasa turun naik sebagaimana hadis baginda SAW.

Apabila tahap ini dicapai, tidak timbul lagi soal rasuah, pecah amanah, dengki khianat dan jatuh menjatuhkan. Dengan yang demikian mudah-mudahan kita dikurniakan negara yang baik lagi sejahtera.

Ini sebagai mana firman Allah: Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukur kepada-Nya, (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur dan (Tuhan kamu) adalah Tuhan yang Maha Pengampun... (Saba': 15) 

Akhir kalam, marilah sama-sama kita mengamalkan Islam sebagai cara hidup supaya ia tidak hanya slogan yang dilaung-laungkan sahaja.

Meniti alam dewasa

Oleh NURUL IZZAH SIDEK (fikrahremaja@yahoo.com)


Alangkah bahagianya semua ibu bapa sekiranya semua anak mempunyai pendirian yang teguh seperti si A di atas. Mampu membezakan antara kebaikan dan keburukan. Tetapi malangnya tidak semua remaja, bahkan orang dewasa juga sematang dan berfikiran seperti si A. 

Ramai yang berpendapat hidup remaja hanya sekali dan harus dinikmati dengan keseronokan dan kegembiraan. Tidak dinafikan bahawa peringkat remaja adalah peringkat percubaan untuk mengenal, mengetahui serta belajar. Ia bakal membina sikap, pendirian, watak dan kebiasaan terhadap sesuatu perkara ataupun amalan. 

Peringkat remaja juga adalah tahap yang amat penting untuk membina persediaan masuk ke alam dewasa. 

Sebelum remaja meniti alam dewasa, mereka perlu membuat persiapan ilmu, bersikap positif terhadap kemajuan, bersedia berubah ke arah kebaikan, mengetahui batas pergaulan dan batas keseronokan serta merancang ke arah hidup yang lebih bermakna. 

Banyak perubahan di alam dewasa yang bakal para remaja tempuhi. Antaranya alam memenuhi cita-cita dan pengajian, alam pekerjaan dan memiliki harta benda, alam berumah tangga dan beranak-pinak serta alam menyumbang kepada masyarakat. 

Apabila remaja sudah melewati zaman persekolahan menengah, remaja perlu memikirkan dengan mendalam tentang masa depan dan hala tuju hidup. Sekiranya cita-cita asal tidak dapat dipenuhi, alternatif lain harus dicari asalkan tidak tersasar daripada matlamat untuk memajukan diri, keluarga dan umat. 

Bayangkan sekiranya remaja gagal untuk mencapai apa yang diidamkan serta tidak mempunyai kekebalan diri dan keimanan yang kuat, remaja akan mudah patah semangat dan mudah untuk terjebak ke perkara-perkara yang kurang sihat dan akhirnya merugikan diri, keluarga dan masyarakat. 

Tidak mencapai cita-cita asal tidak harus dijadikan faktor penghalang, malah ia menjadikan seseorang lebih matang, bersedia menghadapi kemungkinan dan cabaran serta sanggup meningkatkan lagi perjalanan ilmu yang memberi manfaat di alam dewasa nanti.

Alam pekerjaan pula adalah alam untuk mencari menyara penghidupan serta mencurahkan khidmat bakti kepada sesuatu organisasi atau pekerjaan. Mendapat pekerjaan yang baik semasa menempuhi alam pekerjaan juga adalah rentetan daripada hasil usaha semasa remaja. 

Jika seseorang remaja itu memiliki kelulusan dan bakat yang diasuh dengan baik semasa usia remajanya, tentu tidak susah untuk mencari pekerjaan atau membina sendiri perniagaan menggunakan bakat , ilmu dan kreativiti yang dimiliki. 

Remaja harus insaf bahawa alam pekerjaan bukanlah sesuatu yang mudah. Namun begitu, para remaja yang bakal masuk ke alam dewasa harus bersikap positif bahawa rezeki Allah ada di mana-mana. 

Bumi kita ini menunggu penglibatan kita untuk meneroka dan mencari rezeki yang halal. Kuasai ilmu asas yang baik dalam apa jua bidang yang ingin kita ceburi, pupuk disiplin diri, serta bina tekad dan azam.

Cita-cita berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri juga adalah sesuatu fitrah yang bakal setiap orang tempuhi. Namun begitu, tanpa ilmu, akhlak dan asas nilai yang kukuh, pastinya banyak kesulitan yang bakal timbul. 

Ibu bapa harus menjadi teladan yang baik kepada anak-anak, membakar semangat anak-anak untuk lebih berjaya, dan mendidik anak-anak menjadi insan yang berilmu serta berakhlak mulia. 

Mendidik anak-anak juga sesuatu yang mencabar, lebih-lebih lagi dalam keadaan di mana gerbang maklumat dalam media massa lebih mempengaruhi pemikiran remaja kini. 

Kita tentu tidak mahu menjadi ibu bapa yang akhirnya menyesali perbuatan mereka mengabaikan pendidikan dan tanggungjawab terhadap anak-anak, di mana natijahnya anak-anak mereka terjebak dalam kancah yang rosak serta memilukan.

Justeru, persiapan, pengalaman dan bakat yang terbina dengan baik pada zaman remaja akan melanjutkan amalan, tingkah-laku, tabiat dan pekerti pada zaman dewasa seseorang. 

Sokongan dan rangsangan positif daripada ibu bapa dan penjaga serta masyarakat sekeliling memungkinkan seseorang remaja menjadi seseorang yang berilmu, berakhlak mulia, tahu membezakan kebaikan dan keburukan, bersemangat waja serta tidak mudah putus asa. 

Apabila remaja terdidik dengan nilai-nilai positif dan murni, maka dewasanya akan lebih terisi dan membuahkan hasil yang baik dan harum. 

Kesimpulan

Zaman remaja memang sekali, namun tidak harus disia-siakan dengan amalan dan perbuatan yang sia-sia. Ramai orang yang menyesali zaman muda yang telah dibiarkan berlalu dengan begitu sahaja tanpa pembinaan jati diri dan keterampilan yang baik. 

Mendepani cabaran sebagai remaja yang akan meniti alam dewasa bukanlah sesuatu yang mudah. Bak kata bait-bait dalam sebuah lagu:


Rumah kecil tiangnya seribu

Rumah besar tiangnya sebatang

Waktu kecil kau ditimang ibu

Dewasa mu di pukul gelombang

Berhijrah ke alam remaja

Menguji ketabahan jiwa

Tiada seindah impian

Sesungguhnya hidup perjuangan

Kehidupan remaja harus disertai dengan keimanan, ilmu dan daya kekebalan yang tinggi dalam diri remaja agar kehidupan remaja tidak tersimpang jauh dari landasan yang sebenar dan dapat menuai hasil yang baik bukan sahaja apabila sudah dewasa dan berusia bahkan di akhirat kelak.

Sumayah dua kali terselamat

Susunan ZUARIDA MOHYIN


MENGAPA saya wujud di dunia ini dan untuk tujuan apa kita dihidupkan? Dua persoalan yang sentiasa berlegar dalam fikiran wanita yang berasal dari Queens, New York, Amerika Syarikat, Jennifer Sumayah Fayed sebelum beliau mengalami beberapa insiden yang beliau anggap itu adalah petanda dan hidayah daripada Allah SWT.

Akui pemegang ijazah dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan Pemasaran dan kini beliau merupakan ahli kepada Perikatan Penulis-Penulis Muslimah, persoalan di atas mula timbul pada musim panas 2001.

Pada ketika itu beliau sudah tiga tahun berkahwin tetapi rumah tangga yang dibina ibarat retak menanti belah. Apa tidaknya, suaminya tidak seperti suami orang lain yang melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dan bapa sebaik mungkin. Tambah membebankan fikiran dan perasaan Sumayah apabila mengetahui dirinya mengandung anak ketiga. 

Sejak itu, Sumayah mula berfikir-fikir tujuan dia hidup di atas muka bumi ini. Sungguhpun dia bangga dengan status sebagai isteri, ibu dan anak tetapi tentunya ada sebab yang lebih munasabah selain semata-mata melaksanakan peranan di atas. 

Dalam situasi emosinya yang kian tertekan, ia diburukkan lagi apabila keluarga kandungnya berpindah ke Republik Dominican. Ia menyebabkan Sumayah rasa dirinya terpinggir dan hampir putus asa. Baginya, keluarga adalah sumber inspirasi dan kekuatan semangat dalam mengharungi kehidupan yang serba mencabar itu.

Pagi itu, lenanya terganggu dek panggilan telefon daripada ibu mentua yang berkali-kali mengulangi perkataan ada kemalangan kapal terbang di bandaraya Manhattan. 

Rupa-rupanya berlaku pelanggaran dua buah kapal terbang di Pusat Dagangan Dunia New York yang mengejutkan seluruh dunia.

Bernasib baik

Sumayah adalah antara insan yang benar bernasib baik kerana dia baru semalam berada di bangunan tersebut. 

Selepas serangan 11 September, Sumayah mengambil keputusan terbang ke Republik Dominican dengan niat menziarahi ibu bapanya. Pada masa itu kandungannya baru berusia sebulan. Dirinya berbadan dua hanya diketahui ibu mentua, suami dan dirinya. 

Dengan menaiki pesawat 587, ia adalah penerbangan pertamanya selepas tragedi serangan WTC. Saat itu fikiran Sumayah hanya tertumpu kepada kandungan yang hidup dan semakin membesar. 

Ia adalah sesuatu yang tidak dirancang dan sebenarnya jauh di sudut hati Sumayah, dia tidak mahu meneruskan kehamilan itu. Bagaimana hendak menyara tiga mulut sedangkan untuk menyara dua anak pun Sumayah tidak mampu.

Oleh kerana terlalu berat dirasakan beban yang perlu dipikul itu waima untuk memberitahu kepada keluarga, Sumayah mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungannya. Itulah cara yang paling mudah baginya menyelesaikan masalah yang dihadapi walaupun agamanya menganggap ia sesuatu yang berdosa dan taboo.

Sumayah kembali ke New York dan terus menghubungi perancang keluarga untuk membuat janji temu bagi melakukan pengguguran. Dia kecewa diberitahu, kaedah pengambil pil tidak boleh dilakukan kerana usia kandungannya sudah membesar. Jadi mereka menyarankan agar dia melakukan proses pengguguran kandungan. 

Timbul rasa bersalah di benak. Timbul pelbagai konflik pada diri Sumayah. Adalah betul tindakan yang diambil itu? Bagaimana hak untuk hidup bayi yang tidak berdosa itu? Semua itu berputar-putar di fikirannya.

Memohon kepada-Nya

Akhirnya, dia mengambil keputusan berdoa dan memohon kepada-Nya agar diberikan petunjuk. Itulah usaha terakhirnya. Lantas terus berbicara terus kepada Allah seperti berbual dengan seorang sahabat. Dia tidak ke gereja atau ke bilik pengakuan yang tersedia di gereja.

Selepas menyerahkan semuanya kepada Tuhan, Sumayah meneruskan hari-hari mendatang dengan tabah dan berkeyakinan bahawa Tuhannya itu akan lebih mengetahui apa yang terbaik untuknya itu.

Serangan 11 September, menurut Sumayah menyebabkan masyarakat Islam di New York mengalami tekanan hebat. Mereka dituduh sebagai pengganas dan pelbagai layanan buruk, kata keji dan pemboikotan dilakukan penduduk tempatan ke atas umat Islam ketika itu.

Ada juga terdetik perasaan belas dan kasihan kerana beranggapan mereka itu adalah mangsa keadaan dan mereka sebenarnya tidak bersalah. Sungguhpun demikian, hakikatnya ada hikmah di sebalik keperitan dan tohmahan negatif itu.

Selang beberapa hari, sekali lagi Sumayah dikejutkan. Kali ini berita tentang satu kemalangan kapal terbang dari tanah kelahirannya ke Republik Dominican. Tambah memeranjatkan, ia adalah pesawat 587 yang dinaikinya seminggu yang lalu sewaktu menziarahi ibu bapanya.

Sesungguhnya dua kejadian di atas bukannya kebetulan tetapi ia mesej nyata daripada Allah. Apatah lagi ia berlaku kurang sebulan. 

Seminggu kemudian, Sumayah mengalami masalah pendarahan dan akhirnya janin yang masuk bulan kedua itu tidak dapat diselamatkan lagi.

Biarpun, dia ada mendaftar untuk proses pengguguran, namun keguguran yang dialami sehari sebelum tarikh 15 Oktober 2001 yang diberikan oleh perancang kekeluargaan itu tidak dirai dengan rasa lega.

Namun, mengambil sikap positif daripada apa yang dialami serta berkeyakinan apa yang berlaku ke atasnya itu adalah natijah daripada doanya kepada Allah.

Dengan tidak menoleh ke belakang lagi dan beralasan, Sumayah bertekad menyambung pengajian dan memohon perceraian daripada suaminya yang terang-terangan tidak mahu bekerja dan menjadi bapa yang bertanggungjawab.

Bertemu pelajar Islam

Berada di kolej, Sumayah mula bertemu dengan beberapa pelajar Muslim. Dia tidak sabar bertanya apa sahaja berkaitan agama mereka. 

Sebenarnya, persoalan ini timbul rentetan daripada insiden 11 September lalu. Soalan pertama yang ditanya Sumayah ialah mengapa dia bertudung kepala? Apa agama kepercayaan awak? Siapakah itu Nabi Muhammad yang selalu mereka sebut-sebutkan? 

Sayangnya ada antara soalan itu yang dijawab tetapi banyak juga yang tidak jelas. Oleh kerana itu, Sumayah terpaksa beralih kepada sumber pencarian lain iaitu Internet, kaedah paling cepat dan mudah untuk mendapatkan penyelesaian. 

Di situlah beliau tahu tentang Islam. Malah barulah Sumayah tahu bahawa Allah bukan sahaja mengutuskan Nabi Isa sebagai pesuruh Allah tetapi ada nabi selepas itu iaitu Nabi Muhammad, sebagai penutup segala nabi dan rasul. 

Malah selepas mentelaah tentang ajaran Islam, barulah persoalan yang telah terpendam sekian lama terjawab. 

Malah ia dijelaskan secara terperinci dan terang. Sejak itu, Sumayah membuat keputusan untuk melakukan lebih banyak penyelidikan terutamanya tentang Nabi Muhammad SAW. 

Sumayah terkejut dengan apa yang ditemui iaitu bahawa Muhammad itu sebenarnya insan biasa dan sesungguhnya keseluruhan sirah kehidupannya telah tercatat dalam kitab al-Quran. 

Tanpa banyak soal, Sumayah mengakui bahawa agama kepercayaan yang selama ini dicari sudah ditemui dan ia adalah agama Islam. Sumayah menghadiri solat sunat tarawih yang pertama ialah pada musim gugur 2002. 

Suasana dalam masjid penuh sesak dengan manusia yang berbeza warna kulit dan bangsa. Senario yang jauh berbeza dengan agamanya sebelum ini. Mereka tidak lekang dengan ucapan salam sebaik bertemu sesama mereka. 

"Agak kekok juga untuk solat berjemaah namun seorang teman menyarankan kepada saya agar ikut sahaja atau tiru bulat-bulat apa yang mereka lakukan.

"Saya seronok melaksanakannya. Saya takjub bila mengetahui bahawa umat Islam bersolat dengan mengadap satu kiblat iaitu Kaabah yang terletak di Mekah, Arab Saudi serta waktu dan jumlah solat yang serupa walau dari mana mereka berada di muka bumi ini.

Mula bertudung

"Sebagai tanda menghormati masyarakat Islam, saya mengenakan tudung kepala sejak itu. Alhamdulillah, timbul rasa selesa walaupun ia pengalaman pertama memakainya. 

"Saya juga dapati, dengan menutup sebahagian badan, ada semacam rasa selamat. Ini kerana kaum Adam melayan saya dengan penuh beradab sopan dan tidak terarah kepada kita sebagai objek seksual. Saya akhirnya bersumpah untuk terus memakai tudung walaupun pada masa itu saya masih belum Islam.

"Malah saya mula belajar berpuasa. Selepas beberapa ketika, saya mula memikirkan bagaimana untuk saya memberitahu hal sebenar penampilan diri bertudung serta berhasrat untuk memeluk Islam kepada keluarga. 

"Sudah pastinya mereka menentang keras terutamanya, ibu," cerita Sumayah yang telah berterus terang kepada adik perempuan, Catherine yang lima tahun lebih muda daripadanya.

"Walau apa juga agama anda, saya tetap sayangkan anda sebagai kakak," jawapan daripada mulut adiknya itu bagai tidak dipercayai Sumayah. 

Sumayah memberanikan diri berdepan dengan ibu bapanya. Di pihak bapanya tidak ada banyak masalah tetapi ibunya seperti tidak percaya dengan berita yang sampai di telinganya itu. 

Ibu berkeras menjelaskan bahawa dia telah memilih jalan yang salah dan agama Islam bukanlah agama yang sebenar dan perkara yang paling menganggu ibu ialah pemakaian tudung oleh Sumayah.

Dua minggu kemudian, barulah ibu dapat menerima keputusan Sumayah tetapi dengan perasaan yang agak berat. Minggu berikutnya, Sumayah sah bergelar Muslim dengan disaksikan saudara sesama Islam dari pelbagai bangsa.

Doa agar dijauhi sifat lalai

Allah berfirman yang maksud-Nya: Engkau jugalah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berikan rahmat kepada kami kerana Engkau jugalah sebaik-baik pemberi ampun. Dan tetapkanlah untuk kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepada-Mu. (al-A’raf: 155-156)


KETERANGAN AYAT

Ibnu Abi Hatim, Abu al Sheikh meriwayatkan daripada Nauf al Humairi berkata, apabila Nabi Musa memilih 70 orang daripada kaumnya untuk menuju ke tempat yang diperintahkan Allah, maka Allah telah mengatakan kepada Nabi Musa a.s; "Sesungguhnya Dia telah menjadikan bumi tempat yang suci untuk beribadat dan dijadikan ketenangan dalam rumah mereka serta dijadikan Taurat itu boleh dibacakan secara hafaz oleh setiap golongan Bani Israel."

Tiba-tiba golongan Yahudi itu mengatakan: "Kami tidak mahu bersembahyang melainkan di biara sahaja. Kami hanya mahu ketenangan itu ada dalam keranda Nabi Yusuf a.s dan kami hanya mahu membaca Taurat dari tulisan yang tercatat atas buku." 

Malah kaum Yahudi juga meminta untuk melihat Allah secara live (langsung) sebagai alasan untuk beriman (Al-Durrul Manthur, tafsir ayat 155-156, surah al-A'raf).

Nabi Musa a.s tidak ada pilihan melainkan mengingatkan umatnya terhadap bahaya mengingkari suruhannya Allah. Baginda lalu memohon kepada-Nya keampunan dan kebaikan dunia dan akhirat. 

Khasiat dan kaifiat beramal

Doa ini wajar dipanjatkan ketika melihat keadaan umat yang lalai daripada mengikut petunjuk Allah SWT. Ini tidaklah bermakna kita meninggalkan kerja-kerja dakwah dan hanya berdoa dengan ayat ini semata-mata. 

l Petikan buku 101 Doa Para Nabi dan Rasul dalam Al-Quran Khasiat & Kaifiat Beramal terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

Ghaziyah menahan dahaga

GHAZIYAH Jabir adalah wanita yang mewarisi sifat-sifat keperwiraan keturunan Quraisy. Dia tidak takut atau gentar dengan sesiapapun. Dia juga digeruni oleh masyarakat Quraisy kerana sifat yang dimilikinya. Dia berani berkata benar walaupun di hadapan orang yang lebih kuat daripadanya.

Ghaziyah memeluk Islam apabila suaminya, Abul Akar menemui Rasulullah dan menyatakan keimanannya kepada Allah. Ghaziyah mula melaksanakan dakwah Islam kepada wanita-wanita Quraisy lain. Ramai wanita Quraisy tertarik memeluk Islam kerana keperibadian Ghaziyah yang menarik dan kepetahannya berkata-kata.

"Apa? Ghaziyah sedang menarik lebih ramai wanita Quraisy memeluk Islam. Kita mesti lakukan sesuatu supaya pengikut baru Muhammad tidak bertambah!" salah seorang pembesar Quraisy melahirkan rasa bimbang tentang dakwah yang dijalankan oleh Ghaziyah di kalangan wanita Quraisy.

"Saya cadangkan supaya kita pergi ke rumah Ghaziyah dan menghukumnya supaya orang lain tidak berani mengikut jejak langkahnya," cadang seorang lagi pembesar Quraisy yang benci dengan Islam.

"Saya setuju dengan cadangan kamu. Kita ugut dan takutkan Ghaziyah supaya dia hentikan dakwahnya di kalangan wanita kita," sokong pembesar-pembesar yang mahu usaha Ghaziyah dihentikan serta-merta.

Mereka semua sepakat dan bergegas ke rumah Ghaziyah bagi mengugut dan menakutkannya supaya dia tidak meneruskan usaha murninya itu. Walaupun pembesar-pembesar Quraisy menceroboh masuk ke rumahnya, Ghaziyah tetap menerima tetamu yang tidak diundang itu dengan senyuman.

"Kamu akan mendapat hukuman jika tidak menghentikan dakwah di kalangan wanita Quraisy dengan segera," ugut pembesar-pembesar dengan memandang wajah Ghaziyah.

"Saya tidak akan hentikan apa yang benar," Ghaziyah mempertahankan dirinya di hadapan pembesar-pembesar Quraisy yang semakin marah dengan jawapannya.

"Tangkap Ghaziyah dan ikat pada unta. Kemudian, jemur dia di tengah pancaran matahari sehingga dia mahu kembali ke agama nenek moyang kita," perintah pembesar-pembesar Quraisy kepada orang bawahannya.

"Pastikan ada orang mengawal unta itu supaya tidak ada orang lain yang datang membantu Ghaziyah," pesan pembesar-pembesar Quraisy lagi kepada orang bawahannya.

Dua orang pengawal yang ditugaskan mengawal Ghaziyah yang diikat pada seekor unta yang dijemur di tengah-tengah pancaran matahari padang pasir. Tekaknya kering, mulutnya pecah-pecah, muka dan kulit badannya terbakar digigit pancaran matahari yang terik. Pengawal Quraisy duduk di dalam khemah sambil makan dan minum tanpa mempedulikan rayuan Ghaziyah yang dibiarkan dalam kepanasan matahari tengah hari.

Ghaziyah hanya berserah kepada Allah dengan penderitaan yang sedang dialaminya. Dia yakin Allah tidak membiarkan hambanya diperlakukan dengan kejam. Mulutnya terkumat-kamit menyebut nama Allah sambil mengharungi kepanasan, kesejukan dan kehausan selama tiga hari berturut-turut.

"Ya Allah! Kasihanilah hambamu yang terseksa ini. Saya bermohon kepada-Mu supaya penderitaan saya berkurangan," Ghaziyah berdoa kepada Allah dengan sisa-sisa tenaga yang hampir kehabisan.

Kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Allah mendatangkan sebaldi air kepada Ghaziyah lalu menuangkan ke atas tubuhnya. Dia dapat melihat baldi air itu tergantung di antara bumi dan langit. 

Ghaziyah minum air yang dituangkan itu dengan sepuas-puasnya. Tubuhnya yang letih kini kembali bertenaga. Keyakinan kepada kuasa Allah semakin utuh dalam diri Ghaziyah.

"Bagaimana tubuh Ghaziyah itu basah?" Tanya salah seorang pengawal yang keluar dari khemah memeriksa dari mana datangnya bunyi air dituang.

"Cuba kamu periksa sama adakah ikatan Ghaziyah itu terbuka?" balas kawannya yang kelihatan tercengang menyaksikan kejadian di hadapan matanya.

"Ikatannya masih kuat dan mustahil Ghaziyah dapat mengambil air ?" kedua-dua pengawal itu berasa hairan dan terkejut.

"Dari mana kamu dapat air?" tanya salah seorang pengawal yang masih bingung memikirkan bagaimana Ghaziyah dapat mencapai bekas air walaupun masih terikat pada unta.

"Allah, Tuhan semesta alam tidak membiarkan hambanya dizalimi. Doa orang yang dizalimi segera dimakbulkan. Air itu datangnya dari Allah." Ghaziyah menjelaskan dengan tenang kepada dua orang pengawal yang mula rasa takut dengan kejadian itu.

"Sekiranya kata kamu benar, benarlah agama kamu. Agama kamu lebih baik daripada agama kami. Sesungguhnya kami bersaksi Allah tuhan kami dan Muhammad adalah rasulnya," ucap kedua-dua pengawal itu apabila cahaya iman masuk ke jiwa dan hati mereka.

Mereka membebaskan Ghaziyah daripada ikatannya. Kemudian, mereka memohon maaf kepada Ghaziyah kerana membiarkannya terseksa di padang pasir selama tiga hari. 

Ghaziyah memaafkan kedua-dua pengawal itu kerana mereka terpaksa menurut perintah tuan mereka hanya bencikan agama Islam. Dengan pertolongan yang diberikan oleh Allah, Ghaziyah berjaya mengislamkan dua orang pengawal Quraisy itu.

Suruhan merendah diri

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. (asy-Syu'ara: 215 )

Huraian

Seorang pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang menjalankan tugas kepimpinannya berdasarkan nilai-nilai yang ditetapkan oleh syarak bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. 

Seorang pemimpin dilarang berlaku zalim kepada rakyat bawahannya bahkan hendaklah sentiasa merendah diri dan melayan mereka dengan baik dan berlemah lembut. 

Pemimpin yang zalim dan mengamalkan sikap kuku besi hanya akan menambah kebencian di kalangan rakyat jelata. 

Apabila pemimpin merendah diri, mereka pasti dapat menawan hati para pengikut dan orang bawahannya. Dengan ini, tugas menyeru mereka ke arah kebaikan dan usaha-usaha bagi mengukuhkan keimanan menjadi semakin mudah. 

Bagi orang-orang bukan Islam pula, mereka mudah tertarik dengan ciri kepimpinan yang ditonjolkan itu dan akhirnya mudah untuk patuh kepada arahan pemimpin mereka. 

Dengan ini tali persaudaraan dan hubungan kemasyarakatan semakin kukuh. Seterusnya mewujudkan sebuah negara yang aman dan makmur.

Kesimpulan 

Sifat merendah diri adalah amalan mulia dan patut diamalkan walaupun oleh mereka yang bergelar pemimpin. 

Pemimpin yang baik hendaklah sentiasa merendah diri kepada rakyat bawahannya bukan bersikap sombong dan mementingkan diri sendiri. Dengan ini mereka akan disegani oleh rakyat kerana tertarik dengan penampilan pemimpin seperti ini.