Like Blog Ini...

Friday, January 6, 2012

Pertambahan artifak tuntut tambahan konservator?

Oleh Nur Natasha Aida Ismail

Negara sememangnya kaya dengan hasil peninggalan bahan sejarah berharga yang sifat fizikalnya perlu dipulihara bagi menyelamatkan artifak ini daripada lenyap ditelan arus masa.

Tugas dan tanggungjawab berat ini dipegang sepenuhnya oleh konservator muzium, namun hari ini mencari konservator boleh diibaratkan seperti mencari sebutir mutiara di tengah lautan.

Faktor kekurangan konservator terutama yang berkepakaran khusus dalam menjalankan kerja-kerja konservasi mengikut bidang juga menyebabkan konservator yang ada terpaksa menjalankan kerja-kerja konservasi dalam skop yang lebih besar.

Kerja konservasi tidak semudah di sangka

Bagi Zamrul Amri Zakaria, 33, beliau bersetuju dengan situasi kekurangan konservator yang bakal menyebabkan bahan artifak negara suatu masa nanti mungkin terbiar.

"Pertambahan bilangan artifak dari semasa ke semasa ini juga memerlukan jumlah konservator yang secukupnya bagi memastikan artifak dapat dijaga sebaik yang mungkin untuk tatapan generasi akan datang.

Zamrul yang bertugas sebagai Ketua Pusat Konservasi di Jabatan Muzium Malaysia (JMM) meletakkan tugasnya sama penting seperti peranan doktor.

"Artifak diibaratkan seperti pesakit yang perlu didiagnosis, dirawat seterusnya dipantau kondisinya dari semasa ke semasa.

"Bermula dengan kerja-kerja penganalisaan, penyelidikan, rawatan dan pemeliharaan koleksi muzium bagi tujuan pameran, simpanan, pendidikan dan dokumentasi, saya juga menjalankan rutin harian seperti pemantauan sistem kawalan suhu, kelembapan, pencahayaan, pencegahan kerosakan dan membaikpulih artifak," katanya.

Zamrul berkata dalam hal demikian, konservator seharusnya memiliki kepakaran yang khusus dalam sesuatu bidang konservasi bagi membolehkan mereka merawat artifak secara spesifik berdasarkan kepada masalah atau jenis kerosakan.

"Skop konservasi yang begitu meluas dan bilangan konservator terutamanya konservator yang berkepakaran khusus agak terhad menjadi hambatan dan kekangan kepada kami sebagai konservator untuk menjalankan tugas.

"Memiliki pengetahuan untuk kerja-kerja konservasi bagi setiap bidang artifak mungkin memberi kelebihan kepada saya tetapi hakikatnya, sesuatu jenis artifak tetap memerlukan pakarnya yang khusus bagi memastikan perhatian yang lebih dapat diberikan terutama dari segi menjaga ketahanan artifak untuk jangka masa yang lebih panjang," katanya.

Di JMM bidang konservasi artifak menjadi fokus utama. Setiap konservator akan mendalami dan mempelajari segala aspek berkaitan bidang itu dan menjadi pakar rujuk sama ada dalam atau luar negara.

Menurut Ketua Pengarah JMM Datuk Ibrahim Ismail, Pusat Konservasi JMM mempunyai lima konservator dan dibantu oleh tujuh pekerja yang mempunyai kemahiran dalam bidang konservasi artifak.

"JMM turut mempunyai konservator pelatih di setiap muzium kecil yang berada di bawah JMM tetapi persoalannya hari ini dengan jumlah konservator yang kita ada, mampukah untuk menjaga artifak kita yang semakin banyak?," katanya.

Ibrahim berkata dengan pertambahan bilangan koleksi, ia juga sekali gus mempengaruhi tempoh penyimpanan artifak itu yang semakin lama disimpan semakin tinggi perhatian perlu diberikan.

"Tetapi kalau kita tidak beri perhatian yang lebih berat maknanya tiada tumpuan penjagaan khusus dan dibiarkan begitu sahaja untuk sekian masa yang lama, artifak mungkin terdedah kepada kerosakan," katanya.

Bagaimanapun setakat ini konservator di JMM masih mampu menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka dengan baik.

"Untuk sesetengah muzium kecil yang tidak banyak koleksinya, mungkin tiada masalah dari segi kerja-kerja konservasi tetapi untuk Muzium Negara sendiri dengan kepelbagaian koleksi dalam kuantiti yang banyak, mungkin lebih elok kalau kita mempunyai konservator yang berkepakaran dalam bidang masing-masing," katanya.

Antara skop tugasan konservator dalam aktiviti konservasi dan pemeliharaan juga meliputi sebarang aktiviti atau tindakan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam memanjangkan tempoh hayat sesuatu artifak.

Ia melalui proses antaranya pemeriksaan terhadap keadaan fizikal semasa artifak, pembersihan keseluruhan artifak atau hanya pada bahagian-bahagian yang perlu pada artifak, perlindungan secara menyeluruh artifak yang telah dibersih atau yang telah dirawat.

Sementara dari segi pemeliharaan pula, ia meliputi sebarang aktiviti atau tindakan yang dapat mengekalkan kestabilan artifak bagi jangka masa panjang melalui aktiviti pemantauan keadaan fizikal artifak secara berterusan, menyelenggara ruang, kawasan, persekitaran atau mana-mana tempat artifak itu berada, memastikan artifak sentiasa terpelihara dalam keadaan yang stabil dan selamat di tempat artifak itu berada.

Menurut Ibrahim semua tugas dan tanggungjawab ini perlu dipikul konservator yang berkepakaran dalam bidang-bidang berkaitan.

"Memandangkan kepakarannya tidak sama, jadi kalau ada kepakaran tertentu dan dapat mengkhususkan kepakarannya mengikut jenis bahan buatan artifak contohnya bahan tekstil ada pakarnya, bahan logam ada pakarnya, bahan yang dibuat dari kertas ada pakarnya, artifak itu mungkin akan lebih terjaga.

"Tetapi sekiranya tidak ada pegawai kita yang berkepakaran dalam bidang berkaitan dari segi untuk memastikan artifak terus berada dalam keadaan yang elok, mungkin ia boleh mendatangkan mudarat kepada artifak berkenaan," katanya.

Ibrahim berkata dalam hal demikian juga kemudahan dari segi peralatan perlu diberikan keutamaan yang lebih tinggi.

"Setakat hari ini, kemudahan peralatan yang diperlukan dalam kerja-kerja makmal itu memang dah ada cuma ia perlu diberikan keutamaan yang lebih lagi dan meningkatkan lagi prasarana agar kerja-kerja konservasi dapat dilakukan dengan teknologi lebih tinggi setaraf dengan negara luar," katanya. - BERNAMA

No comments: