Like Blog Ini...

Thursday, January 12, 2012

Satu logo halal hapus keraguan

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Wahai sekelian manusia! makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168)

Pelbagai bentuk logo halal yang terdapat di negara ini bukan sahaja mengelirukan tetapi turut mengundang keraguan tentang status yang mana diiktiraf halal dan mana pula sebaliknya.

Namun, mulai Januari 2012 semuanya telah diselaraskan. Hanya satu logo halal diperakui untuk kegunaan di seluruh negara. Satu pihak sahaja yang bertanggungjawab mengeluarkan logo halal itu, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pada masa yang sama, Majlis Agama Islam Negeri juga boleh mengeluarkan sijil dan logo halal melalui Jakim.

Ini adalah antara kejayaan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) yang diluluskan oleh Parlimen. Ia diharap memberi transformasi terhadap sektor industri halal negara. Sekali gus mengurangkan kebimbangan umat Islam mendapat produk yang halal.

Akta itu memberi kekuatan baru kepada Jakim kerana ia memberi kuasa penuh kepada badan penguatkuasa agama tertinggi itu menguatkuasakan penggunaan dan mengeluarkan logo halal.

Ia juga membolehkan Jakim memantau dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana individu, syarikat swasta atau syarikat luar yang memalsukan pengeluaran sijil dan logo halal.

Tentunya, langkah tersebut melegakan umat Islam. Sebabnya, barang halal menguntungkan semua pihak kerana pasarannya sangat luas sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam.

Isu halal tidak pernah selesai daripada menjadi topik perbualan orang ramai terutama pengguna Islam sejak dahulu lagi. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal makanan.

Selain dimurkai Allah SWT, makanan haram yang dimakan akan menjadi darah daging dalam tubuh manusia. Ia mempengaruhi keperibadian seseorang muslim serta membawa pelbagai kesan negatif lain.

Namun, apa yang dikhuatiri adalah terdapat premis perniagaan dan syarikat pengusaha makanan yang cuba mengaburi mata pengguna Islam.

Mereka menggunakan logo halal palsu untuk menarik perhatian orang Islam tanpa kita sedari.

Ada juga yang menggantung atau mempamerkan ayat-ayat al-Quran dengan berlatarbelakang Islam pada produk mereka untuk mengabui mata penguna Islam yang merupakan penganut agama majoriti di negara ini.

Hal sama turut dilakukan oleh sesetengah premis perniagaan yang mengambil jalan pintas untuk mendapatkan pengiktirafan status halal dengan mendapatkan logo halal daripada pihak atau badan yang tidak berkelayakan.

Keadaan itu bukan sahaja memudaratkan umat Islam, malah memberi kesan buruk kepada masa depan negara sekiranya dipimpin oleh generasi muda yang membesar daripada makanan yang haram.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penguatkuasaan itu bukan bertujuan membebankan pembekal produk tetapi mampu meningkatkan kredibiliti produk yang dibekalkan.

Katanya, penyelarasan logo halal secara tidak langsung dapat menambah kebolehpasaran produk pembekal yang telah mendapat kelulusan halal Jakim kerana ia dijamin status halalnya.

"Pengguna Islam tidak perlu ragu-ragu lagi memilih sesuatu produk tersebut setelah dilabelkan dengan logo halal Jakim," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Kesedaran Halal APD 2011 di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha; Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin.

Kempen yang bermula Khamis lalu memfokuskan masjid seluruh negara menerusi program seminar, khutbah solat Jumaat dan iklan.

Kata Jamil Khir, penguatkuasaan itu bukan bermotifkan perniagaan atau keuntungan tetapi bagi memastikan produk syarikat yang mempunyai kelulusan halal benar-benar terjamin kualiti dan status halalnya.

"Kita bukan mahukan kelulusan sijil halal yang banyak. Tetapi apa yang dititikberatkan adalah kualiti pembekal produk yang terjamin halal.

"Jakim menggunakan kemudahan penyelidikan saintifik yang terbaik dan lengkap dalam memastikan produk tersebut benar-benar memenuhi tuntutan halal," jelasnya.

Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melantik 62 pegawai Jakim yang telah dilatih untuk menguatkuasa dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

Operasi pemantauan diadakan pada setiap hari bermula tarikh penguatkuasaan akta APD 2011 dan jumlah penguatkuasa akan ditingkatkan dari masa ke masa mengikut keperluan.

Pertubuhan atau perbadanan yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM5 juta dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya tidak melebihi RM10 juta.

Individu pula boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Jika melakukan kesalahan kedua atau berikutnya, mereka boleh didenda maksimum RM5 juta atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

No comments: