Like Blog Ini...

Saturday, January 21, 2012

Zikir terapi Hafiz Hamidun

Oleh ZUARIDA MOHYIN

FIRMAN-NYA yang bermaksud: Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram. (al-Ra'd: 28).

Inilah penawar paling mujarab atau jawapan tepat dalam menghadapi masalah yang berkait rapat dengan hati. Lebih-lebih lagi, apabila berada dalam zaman yang serba-serbi mementingkan material.

Salah satu kemelut hati yang kerap melanda ialah memiliki hati yang tidak tenang, waima sudah mengecap kenikmatan duniawi seperti jawatan tinggi, gaji besar, rumah mewah, kereta hebat, anak-anak yang berjaya dan banyak lagi.

Lantaran itu untuk mendapatkan hati yang tenang, kita kenalah melihat kembali akan hubungan kita dengan pencipta alam semesta ini iaitu Allah Yang Esa.

Ini kerana seharusnya kebergantungan kita hanya kepada Allah SWT semata-mata.

Inilah yang perlu diperbetulkan oleh mereka yang cepat menjadi gundah gulana, resah gelisah, lupa diri, riak apabila diuji dengan aneka ragam cabaran dalam kehidupan

Dalam surah al-A'laa, Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya (wajib) beruntung bagi mereka yang membersihkan (hati) dan (dengan) berzikir menyebut nama Tuhannya (serta) mendirikan solat. (al-A'laa: 14-15)

Ayat ini telah menjelaskan lagi dan mengajar manusia agar berjaya menjalani kehidupan di atas muka bumi ini secara yang diredai Allah SWT lagi diberkati-Nya.

Pun begitu, walau telah banyak ayat al-Quran dan hadis berkaitan rawatan hati ini, masih ramai yang mengentengkan perkara ini dengan alasan-alasan yang remeh-temeh.

Kononnya, sukar untuk menghafal zikir-zikir tersebut, ketiadaan masa untuk melakukan zikir dan banyak lagi.

Baru-baru ini, salah seorang artis nasyid yang suatu masa dahulu pernah mencipta fenomena menerusi kumpulan UNIC iaitu Hafiz Hamidun, kini muncul dengan sebuah album dengan idea segar.

Album Zikir Terapi Diri - Hafiz Hamidun diterbitkan oleh Arteffects International yang diedarkan oleh Warner Music (Malaysia) Sdn. Bhd. dan edaran bersama Arteffects Sdn. Bhd.

Sebuah album yang mengandungi banyak lagu zikir amalan harian yang diperhebatkan lagi dengan muzik yang easy-listening. Sungguh mendamaikan, menenangkan secara bersantai.

Dijual pada harga RM19.90, ia memuatkan 10 zikir utama untuk bekalan semua Muslim.

Disertakan juga sebuah lagu bonus, Lawkana Bainana daripada siri televisyen popular Arab Saudi.

Album ini boleh didapati di kedai-kedai buku agama di seluruh negara berserta outlet-outlet muzik di pasaraya-pasaraya seluruh Malaysia. Album ini juga diedarkan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

No comments: